Matanya
biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup
tampan. Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu
melihat pada tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan
kirinya.
Ahli
membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan
sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya
sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam
kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala
datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk
memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan
disuruh memberi syafa'atnya.
Ternyata
Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah
bilangan qabilah Robi'ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga
dan tiada seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia adalah 'Uwais al-Qarni'.......
Tidak
banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya.
Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan
mempermainkan hatinya.
Tidak
kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang yang membujuk, seorang
pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan, celaan demi celaan
daripada manusia.
Suatu
ketika, seorang fuqoha' negeri Kuffah, datang dan ingin duduk
bersamanya. Orang itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah.
Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula
kepadanya. Uwais berkata: "Aku khawatir, nanti orang akan menuduh aku,
dari mana aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk
pasti daripada mencuri."
Uwais
telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali
hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya
penglihatan kabur yang masih tersisa.
Bagi
menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala
kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk menampung
keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan, Uwais
menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba
kekurangan.
Kesibukannya
sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak
mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap melakukan puasa di siang
hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais
al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke
negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka untuk
menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.
Islam
mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan
yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. Apabila seruan Islam
datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati
Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.
Banyak
tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk
mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di
Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan
Islam.
Alangkah
sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang
dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah
penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.
Kecintaannya
kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan
sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk
ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang sakit dan perlu
dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya nanti?
Hari
berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung dan
hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri
dan bertanya dalam hati, "Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan
memandang wajah beliau dengan dekat?"
Bukankah
dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian daripadanya dan
tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya selalu gelisah siang
dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah.
Akhirnya,
pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia meluahkan isi hatinya dan
memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi menziarahi
Nabi S.A.W di Madinah.
Sang
ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan
anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,
"Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah
berjumpa, segeralah engkau kembali pulang."
Dengan
rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk
menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada
tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah
siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais
menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus kilometer dari
Yaman.
Medan
yang begitu panas dilaluinya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir,
bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan
begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari. Semuanya
dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda
Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah
Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W,
diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah
sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.
Segera
sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata
baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa
kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang
dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan
ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.
Bilakah
beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang
sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
Atas
ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara
hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.
Dia
akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina
'Aisyah R.A ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi
S.A.W dan melangkah pulang dengan hati yang pilu.
Sepulangnya
dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan
orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais
al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit
dan sangat terkenal di langit.
Mendengar perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.
Menurut
sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan
segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan
sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
Rasulullah
S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais
al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah
telapak tangannya."
Sesudah
itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina
Umar R.A dan bersabda: "Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia,
mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan
penghuni bumi."
Tahun
terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah
sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah
digantikan dengan Khalifah Umar R.A.
Suatu
ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais
al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada
sayyidina Ali K.W untuk mencarinya bersama.
Sejak
itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua selalu
bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di
antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya
yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua.
Rombongan
kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan
mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah
menuju kota Madinah.
Melihat
ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A
dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais
turut bersama mereka.
Rombongan
itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga
unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau
berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni.
Sesampainya
di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W
memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah
mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut
sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk
membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais,
sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.
Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
"Siapakah nama saudara?"
"Abdullah." Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,
"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"
Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais al-Qarni."
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah
sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat
itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais
berkenan mendoakan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata, "Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda."
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.
Setelah
itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada
Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais
menolak dengan halus dengan berkata,
"Hamba
mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari
selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.
Beberapa
waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke
rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah
banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke
tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang
menunggu untuk mengkafankannya.
Demikian
juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata
sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika
usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang
berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
"Ketika
aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada
menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut
untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada
bekas di kuburnya."
(Syeikh
Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama
Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Kepergian
Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak
terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang
tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal
Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.
Sejak
dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di
situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih
dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka
saling bertanya-tanya "Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni?
Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak
memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?"
"Namun,
ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan
hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka
datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."
Agaknya
mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk
mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman
mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."

Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Tolong komentarnya berhubungan dengan artikel yang ada.kmentar yang mengarah ke tindakanspamakan dihapus atau terjaring secara otomatis oleh spam filter.